6 perkara yang anda bakal lalui dalam pengurusan harta pusaka

Februari 15, 2017
Bila bercakap tentang soal perbicaraan harta pusaka, ramai orang masih tidak tahu apa proses yang akan terjadi.

Perbicaraan harta pusaka menjadi tanda tanya untuk orang akan baru menghadapinya.

Apa yang akan dibicarakan?

Apa yang perlu disediakan?




Pegawai dari Pejabat Pusaka Kecil menghubungi saya untuk memaklumkan sesi bicara bagi pusaka arwah ayahanda saya. Permohonan yang kami hantar setahun lalu sudah diproses oleh Unit Pembahagian Pusaka.

Beberapa bulan lalu, wakil dari Jabatan Penilaian datang untuk membuat penilaian tanah yang dimiliki arwah.

Saya berdebar menunggu hari perbicaraan. Entah kenapa. Mungkin perkataan bicara itu sendiri memberi perspektif yang menggemparkan. Sedangkan sesi ini kemudiannya terbukti adalah satu sesi yang mudah dan lancar, menurut pengalaman saya sendiri.

Banyak perkara yang saya belajar dalam Bilik Bicara Pusaka Kecil. Sebelum ini saya tertanya-tanya apakah yang akan berlaku semasa perbicaraan. Saya tiada pengalaman. Saya ada bertanya dengan seorang rakan untuk mendapatkan gambaran tentang soalan dan hal yang akan dibincangkan semasa proses bicara.

Hal berkaitan harta pusaka dan perwarisan adalah hal yang sensitif dan seringkali diselubungi emosi seperti sedih, marah, gembira, kecewa dan kerapkali menyebabkan wujudnya perasaan benci dan dendam. Sedangkan ia boleh diuruskan secara rasional dan logik.



Perkara yang saya belajar dalam Bilik Bicara Pusaka Kecil:

1. Berusaha untuk hadir jika anda adalah waris Faraid

Bagi keluarga besar seperti saya, perkongsian maklumat sangat penting. Pejabat pusaka menghubungi saya melalui telefon dan tidak menghantar surat. Kemudian, saya terus memaklumkan tarikh berkenaan kepada semua waris.

Semua waris yang terlibat juga berada di Malaysia. Jadi lebih mudah untuk mereka hadir. Namun begitu, seorang kakak saya tidak dapat hadir kerana beliau ada urusan yang tidak dapat dielakkan.

Sekurang-kurangnya dua orang mesti hadir iaitu pemohon dan seorang lagi waris untuk mengesahkan hasil perbicaraan. Pemohon ialah orang yang menghantar permohonan pentadbiran harta pusaka kecil.

Sekiranya ada waris yang tidak dapat hadir, pastikan beliau tahu maklumat harta pusaka si mati dan hak beliau dalam tuntutan pusaka berkenaan. Waris yang tidak hadir perlu mengisi Borang DDA (Persetujuan Pembahagian). Borang ini boleh dihantar semasa sesi bicara atau dihantar kemudian.


2. Berbaik sangka dengan pegawai bicara

Tugas pegawai bicara adalah sebagai pemudah cara dan beliau yang akan mengeluarkan keputusan hasil perbicaraan. Pegawai bicara seorang yang berpengalaman. Semasa sesi kami, pegawai yang ditugaskan ialah Ketua Penolong Pengarah. Beliau sendiri sudah mengendalikan begitu banyak sesi yang serupa.

Dengar dengan teliti perkara yang disampaikan oleh pegawai bicara. Mungkin ada maklumat dalam permohonan yang tidak diketahui oleh waris lain atau salah seorang waris. Oleh sebab itu, berikan perhatian kepada perbincangan.

Sebagai pegawai bicara beliau berhak meneruskan atau menangguhkan sesi jika ada hal yang tidak dapat diselesaikan dalam sesi berkenaan.

Sesi dimulakan dengan mengesahkan kehadiran waris. Kemudian kami diminta mengangkat sumpah bahawa pengakuan kami adalah benar.


3. Mengetahui susur galur ibu bapa dan moyang

Pegawai bicara seterusnya bertanya kepada pemohon tentang si mati dan susur galurnya. Adakah ibu dan bapa si mati masih ada. Adakah datuk dan nenek si mati masih ada. Beliau ingin memastikan bahawa tiada waris yang tertinggal.

Dalam kes kami, ibu juga sudah meninggal dunia sebelum harta pusaka bapa dibahagikan. Jadi, pegawai bicara turut mengesahkan susur galur ibu. Mengikut Faraid, ibu, bapa dan isteri si mati adalah waris Faraid jika mereka masih hidup selepas kematian si mati.

Memandangkan ibu kami sudah meninggal dunia, maka bahagian Faraid beliau dipersetujui bersama untuk dibahagikan terus kepada semua waris lain. Ini adalah kes kami sendiri. Pegawai bicara memutuskan demikian kerana waris ibu juga adalah sama.

Sekiranya berlaku hal serupa dalam keluarga lain iaitu kematian waris sebelum sempat harta pusaka dibahagikan, maka prosesnya mungkin berbeza apabila senarai waris bagi kedua-dua si mati berlainan. Ia akan menjadi pembahagian pusaka berlapis.


4. Berlapang dada dalam kalangan waris

Seterusnya pegawai bicara menyebutkan senarai harta pusaka tak alih dan harta pusaka alih. Harta pusaka tak alih adalah tanah dan rumah. Harta pusaka alih ialah tunai seperti wang simpanan dan pelaburan serta kenderaan.

Harta tak alih ini sudah diberikan penilaian oleh Jabatan Penilaian. Manakala, harta alih pula dinilai mengikut jumlah semasa dalam penyata bank atau buku simpanan.

Semua dokumen asal mesti dibawa semasa perbicaraan untuk pengesahan. Dokumen ini akan dipulangkan semula selepas bicara. Pejabat Pusaka Kecil hanya mengendalikan kes tuntutan harta pusaka bernilai kurang RM2 juta. Jika nilai harta pusaka melebihi RM2 juta, ia akan ditolak dan perlu ditadbir melalui Mahkamah.

Dalam sesi ini, semua waris yang hadir akan mengetahui nilai pusaka si mati. Pegawai bicara juga akan mengira bahagian setiap waris mengikut Faraid bagi orang Islam. Jika bukan Islam, hak pembahagian adalah mengikut Akta Pembahagian 1958.

Setelah mengetahui hak masing-masing mengikut Faraid, pegawai akan bertanya tentang persetujuan pembahagian. Tuan Pegawai kami mengingatkan tentang hak Faraid dan dalam Islam tidak menghalang keputusan muafakat dan tolak ansur.


5. Tidak menafikan hak waris Faraid

Secara asasnya, kami faham hak masing-masing mengikut Faraid. Namun, bagi memudahkan urusan pindah milik aset pegawai bicara meminta kami memutuskan nama waris yang akan diletakkan dalam geran.

Geran rumah khususnya, tidak boleh menyenaraikan semua waris sebagai pemilik. Namun, nama semua waris boleh dimasukkan dalam geran tanah.

Ketika ini keputusan muafakat diperlukan. Jika tiada muafakat, sesi bicara akan ditangguhkan kerana tiada keputusan boleh dibuat. Akibatnya, urusan pembahagian pusaka akan berpanjangan.

Dalam masa yang sama, jika ada dalam kalangan waris yang tidak mahu mengambil bahagian mereka, waris berkenaan boleh menyatakan demikian semasa sesi bicara.

Begitu juga dengan pemilikan kenderaan. Seorang waris perlu dinamakan untuk menerima kenderaan pusaka bagi menguruskan hal pentadbiran aset ini. Bagi kami, orang yang dinamakan adalah pemilik seterusnya.

Bagi urusan tunai pula, pegawai bicara boleh mengeluarkan arahan supaya wang tunai dikeluarkan kepada setiap waris atau kepada wakil waris.

Sekiranya waris melantik wakil, pegawai mengingatkan ia adalah atas dasar PERCAYA. Wakil ini bertanggungjawab mengagihkan kepada semua waris mengikut persetujuan dan hak masing-masing.

Semua yang hadir berhak menyatakan pendapat mereka sama ada bersetuju atau tidak dengan pembahagian dan keputusan yang dibuat. Semakin banyak konflik dan pertentangan, maka proses perbicaraan semakin rumit dan meletihkan.

Waris yang hadir juga perlu menyedari hak waris yang tidak hadir serta berlaku adil kepada beliau. Waris yang tidak hadir akan menyerahkan Borang DDA yang sudah diisi. Kandungan borang ini mesti sama dengan keputusan semasa perbicaraan. Sekiranya, ada perbezaan perbicaraan akan diulang semula.


6. Tenang dan cuba bersikap rasional

Menurut pengalaman peribadi, saya berpendapat sesi bicara kami berjalan lancar. Mungkin orang lain mempunyai pengalaman berbeza. Seperti yang saya nyatakan di bahagian awal artikel ini. Ia suatu proses yang melibatkan hal sensitif dan menyentuh emosi.

Namun, kita kembali kepada tujuan asal iaitu ingin menguruskan harta pusaka si mati dengan cepat, lancar dan mudah. Selain daripada itu, kita tidak mahu nilai ekonomi harta pusaka beku atau tidak boleh dimanfaatkan ke jalan yang baik.

Cuba bersikap rasional dan fokus kepada perkara yang dibincangkan dalam Bilik Bicara. Hal lain yang tidak berkaitan boleh dibincangkan di luar sesi.



Manusia hanya pemegang amanah sahaja. Pemilik semua ini adalah Tuhan. Sebagai pemegang amanah, kita harus melakukan yang terbaik atas harta yang diamanahkan. Sedikit atau banyak harta yang ditinggalkan adalah hikmah yang perlu dipelajari dan direnungi oleh semua waris.

Sekurang-kurangnya, ini yang saya belajar daripada sesi bicara pusaka kecil. Pada mulanya saya takut kerana tidak mengetahui apakah yang akan berlaku dalam Bilik Bicara. Ketakutan itu adalah kerana saya tiada pengalaman dan maklumat yang terhad tentang hal ini.

Sebelum proses bicara, kami sudah berkongsi maklumat tentang harta pusaka bapa. Dengan cara ini, masing-masing sudah mempunyai maklumat penting dan lebih mudah membuat keputusan pembahagian. Hal sebegini memerlukan masa untuk difikirkan.

Semua waris akan lebih bersedia apabila mereka mempunyai maklumat yang cukup tentang harta pusaka yang akan diwarisi.

Semoga catatan ringkas ini dapat memberi gambaran tentang proses bicara harta pusaka kecil. Ia adalah pengalaman peribadi saya.

Namun, prosedur dan persoalan yang akan dibincangkan dalam sesi bicara adalah hampir serupa. Yang membezakan pengalaman saya dan anda adalah cara pegawai bicara mengendalikan sesi dan respons daripada waris yang hadir.


Sumber artikel disini

Tiada ulasan:

Terima Kasih :D

Dikuasakan oleh Blogger.