KISAH BENAR SEORANG PESAKIT KANSER PAYUDARA
KISAH BENAR SEORANG PESAKIT KANSER PAYUDARA
Meskipun menanggung derita hampir 18 tahun apabila menghidap kanser payu dara, namun seorang suri rumah empat anak di sini tetap tabah dan kuat semangat melawan kesakitan bagi meneruskan kehidupannya.
Tidak mahu dibelenggu kemurungan, apatah lagi penyakitnya kini berada pada tahap empat, Norasmida Hamid (bukan nama sebenar), 57, gemar membelai kucing, di samping meneruskan hobinya menanam pokok bunga di halaman rumah.
Malah, jika keadaan mengizinkan, dia akan gagahkan diri menunggang motosikal kira-kira satu kilometer untuk ke masjid, menghadiri majlis agama di lokasi berdekatan dan menyertai program bacaan Yasin yang lazimnya diadakan di rumah penduduk.
Ketika Sinar Harian berkunjung ke rumahnya, semalam, nenek dua cucu itu hanya terbaring di ruang tamu, namun terus bangun sambil mengukir senyuman bagi menyambut kedatangan penulis, sambil sesekali memegang payudara sebelah kanan bagaikan menahan kesakitan.
Benjolan sebesar telur angsa
Berkongsi penderitaan ditanggungnya, Norasmida berkata, pada mulanya terdapat benjolan kecil di bahagian bawah ketiak kanan, namun dia tidak mengalami sebarang rasa sakit sehingga dia mula perasan benjolan itu kian membesar.
Dia kemudian ke sebuah klinik kesihatan untuk membuat pemeriksaan lanjut dan dimaklumkan, benjolan itu normal terutama bagi wanita yang agak gemuk.
"Berpegang kata-kata itulah, saya terus lalui kehidupan seperti biasa. Bagaimanapun, benjolan itu kian membesar hingga saya tertanya-tanya apa sebenarnya terjadi memandangkan pihak klinik memaklumkan ia hanya benjolan biasa. Apatah lagi saya tidak rasa sakit.
“Setelah bertahun-tahun bertemankan benjolan sebesar telur angsa itu, akhirnya persoalan saya terjawab setelah menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Hanya ALLAH SWT yang tahu perasaan saya ketika itu.
“Saya ke sana (HSNZ) setelah dicadangkan saudara-mara yang juga kakitangan jabatan kesihatan. Mereka terkejut lihat benjolan itu, selain bentuk payu dara sebelah kanan kelihatan bengkak, tidak sebagaimana payudara normal,” katanya.
Saksi insan senasib 'pergi'
Menurut Norasmida, pihak HSNZ mahu menjalankan pembedahan segera bagi membuang benjolan itu, tetapi dia meminta sedikit masa untuk menguruskan pelbagai perkara, termasuk memulangkan kembali kain pasang dihantar pelanggan kepadanya. Katanya, dia ketika itu mengambil upah menjahit baju dan menerima banyak tempahan untuk baju raya.
"Memandangkan kesihatan tidak mengizinkan, saya buat keputusan pulangkan semula kain pasang dihantar pelanggan sebelum jalani pembedahan. Tapi belum sempat selesaikan semuanya, tiba-tiba keluar cecair seperti susu daripada puting sebelah kanan. Bimbang keadaan lebih mudarat, akhirnya pembedahan membuang benjolan di bawah ketiak kanan dilakukan segera.
“Hampir seminggu saya berada di hospital. Doktor mahu buang payu dara sebelah kanan, tapi saya tak setuju. Sepanjang berada di HSNZ, saya turut berpeluang berkenalan dengan wanita lain yang senasib dengan saya. Ada antara mereka telah jalani pembedahan membuang payu dara. Tambah meruntun hati, satu demi satu katil berhampiran kosong apabila kawan saya dijemput ILAHI termasuk di hadapan saya sendiri,” katanya.
Cekal tanggung sakit
Pengalaman itu ternyata menimbulkan trauma dan ketakutan dalam diri Norasmida sehingga dia nekad untuk tidak membuang payudaranya, biarpun terpaksa menanggung derita dan kesakitan bukan kepalang.
“Sekarang saya perlu bergantung pada lebih lima jenis ubat sama ada makan, minum atau sapu yang menjadi makanan harian saya. Jika ada terkurang, payu dara saya akan terasa pedih dan berdenyut-denyut hingga kadangkala mengganggu penglihatan.
“Payu dara kanan saya sekarang tiada puting, sebaliknya hanya dipenuhi daging mati yang akan keluarkan cecair, termasuk nanah dan darah pekat kehitaman. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata jika tersentuh daging-daging itu.
“Mahu atau tidak, saya perlu lindunginya dengan kapas khas dan akan tukar sehingga lima kali sehari bergantung kepada keadaan. Saya juga perlu pantang makan kerana jika tidak, payudara akan berdenyut-denyut. Saya akan rasa begitu sakit,” katanya.
Bagaimanapun, kata Norasmida, selagi terdaya, dia akan tetap melawan penderitaan ditanggungnya itu. Malah katanya, dia bersyukur kerana anak-anak berusia antara 22 hingga 34 tahun, suami, sanak-saudara dan rakan-rakan sentiasa ada di sisinya serta memberikan sokongan.
Nasihat Konsulasi Percuma
Dapatkan Medical Card AIA Public Takaful Sekarang
Demi Masa Depan Keluarga
Whatsapp / sms +60111 684 0717 - Zul Fattah
Tiada ulasan:
Terima Kasih :D